FMSA IBADAH QURBAN & WISATA VIETNAM PROJECT 1432H / 2011

@ PONOROGO, ACEH & VIETNAM

Friday, October 24, 2008

Anak Yatim Indonesia Diberi Keistimewaan


GOLONGAN anak yatim di Indonesia bakal menjadi tumpuan pengagihan daging korban yang dikendalikan oleh Persatuan Persaudaraan Pelajar Islam (FMSA) tahun ini.Ini sebab utama mengapa badan itu memilih untuk mengagihkan daging korban melalui Rumah Zakat Indonesia yang berpangkalan di Jakarta.

Memberi butir lanjut, pegawai eksekutif FMSA, Cik Siryana Hayati Mohd Said, berkata, Rumah Zakat Indonesia merupakan pusat pungutan zakat yang diiktiraf di peringkat nasional dan mempunyai cawangan di 22 bandar besar di serata negara itu seperti di Bandung dan Bogor.Ia antara lain membiayai keperluan pendidikan, makanan dan pakaian sekitar 16,300 anak yatim.

Selain daripada itu, FMSA akan meneruskan pengagihan di salah sebuah pesantren terbesar yang telah dijalankan sejak 10 tahun lalu iaitu Pondok Pesantren Gontor di Jawa Timur.Daging korban akan diagihkan kepada para pelajar di pesantren itu selain daripada golongan fakir miskin di sekitar kawasan itu.

Menurut Cik Siryana, tahun lalu FMSA mendapat tempahan 517 ekor kambing dan enam lembu.Harga seekor kambing tahun ini ialah $165 dan $170 bagi satu bahagian lembu.Sebelum ini, FMSA pernah mengendalikan ibadah korban di Vietnam dan China.Namun tahun ini, Cik Siryana berkata FMSA memutuskan untuk menumpukan perhatian kepada pengagihan daging korban di Indonesia saja.

'Hasil yang diraih melalui ibadah korban yang dijalankan di luar negeri akan digunakan untuk menampung program dakwah dan perkhemahan latihan kepimpinan FMSA,' katanya.

Thursday, October 23, 2008

Projek Qurban dan Wisata FMSA 1429H/2008M

Assalamualaikum wr. wb.

Ibadah Qurban FMSA 1428H bersama Rumah Zakat Indonesia dan Pondok Moden Darussalam Gontor.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam, kepadaNya kita sembah dan meminta pertolongan. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w., keluarganya, para sahabat, para tabi’in juga sekalian kaum muslimin dan muslimat. Doa kami agar Tuan/Puan sentiasa berada di dalam keadaan sihat sejahtera dan dirahmati Allah s.w.t., Amiin.

2. Alhamdullilah, dengan izinNya kita bersua kembali dalam Ibadah Qurban FMSA 1428H. Sekali lagi, FMSA menyediakan pakej Ibadah Qurban serta Aqiqah di institusi pendidikan Islam Pondok Moden Darussalam Gontor (PMDG) Ponorogo, Jawa Timur. Pada tahun ini, FMSA akan melaksanakan Ibadah Qurban di sebuah institusi yang baru iaitu Rumah Zakat Indonesia, yang diiktiraf oleh Kementrian Agama Indonesia pada Mac 2003 sebagai amil zakat peringkat nasional, yang mengasuh lebih dari 16,000 anak yatim dan membantu lebih dari 10,000 fakir miskin di 22 kota besar di Sulawesi, Kalimantan, Tanah Jawa dan Sumatra. Rumah Zakat berpusat di Bandung, Indonesia. Dengan demikian, FMSA menjalankan ibadah Qurban di dua daerah iaitu Jawa Timur melalui PMDG dan Jawa Tengah melalui Rumah Zakat.

3. Tujuan FMSA mengadakan di dua lokasi tersebut ialah agar daging-daging qurban dapat dimanfaatkan oleh fakir miskin, anak yatim dan pelajar yang benar-benar memerlukan disekurang-kurangnya 10 daerah di merata tanah Jawa termasuk Solo, Surabaya, Ponorogo, dan Sooko di Jawa Timur sementara Bandung, Bogor, Jakarta di Jawa Tengah.

4. Ibadah Qurban tahun ini diikuti dengan wisata 4 hari 3 malam bagi menyaksikan penyembelihan disamping menziarah tempat bersejarah, peranginan dan membeli-belah, seperti Bandar Solo, Surabaya, Jogjakarta, Gunung Merapi, Tasik Sarangan di Gunung Lawu, Butik Batik Danar Hati dan institusi PMDG. Harga wisata adalah $690 seorang. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi pejabat FMSA.

5. Harga bagi tempahan seekor kambing ialah S$165 dan 1 bahagian lembu (dari 7 bahagian) berharga S$170 sahaja serta S$1190 untuk seekor lembu. Namun, bagi sahibul yang telah melaksanakan ibadah Qurban dengan FMSA pada tahun-tahun yang lepas, kami menawarkan potongan $5, khusus untuk Tuan/Puan iaitu $160 bagi seekor kambing dan S$165 bagi 1 bahagian lembu. Ini merupakan tanda pengharagaan kami diatas sokongan Tuan/Puan selama ini. Harga yang ditawarkan adalah di antara yang terendah di pasaran..

6. Untuk membuat tempahan, sila isikan borang yang dilampirkan bersama surat ini dan hantarkan secara peribadi ke pejabat FMSA atau poskan ke alamat :

Fellowship of Muslim Students Association
150 Changi Road, Guthrie Building #02-01
Singapore 419973

Pembayaran boleh dibuat secara tunai ataupun cek. Cek boleh ditujukan kepada “Fellowship of Muslim Students Association” dan poskan bersama borang dengan sampul surat yang disediakan. Resit rasmi akan dihantar melalui pos setelah cek Tuan/Puan diluluskan oleh bank simpanan FMSA. Tarikh tutup tempahan qurban adalah 4 Disember 08 sementara tarikh tutup pendaftaran wisata adalah 12 November 08.

7. FMSA memohon jasa baik Tuan/Puan dalam sumbangan seikhlasnya bagi kos kegiatan dakwah dan kebajikan FMSA untuk pelajar Singapura juga bagi membeli beras untuk diagihkan kepada penerima daging qurban. Sumbangan $10 yang menghasilkan pembelian 10 kilo beras, akan diedarkan kepada lebih kurang 10 orang penerima daging-daging qurban di PMDG dan Rumah Zakat. Kami juga menerima sumbangan lebih dari $10 bagi pembelian beras yang lebih banyak. Sila rujuk borang yang disediakan.

8. Akhir sekali, kami mengalu-alukan sokongan Tuan/Puan agar kita sama-sama dapat meringankan beban mereka yang dilanda kemiskinan. Semoga Allah s.w.t. melipat gandakan balasan pahala atas sumbangan Tuan/Puan dan memberikan kejayaan di dunia dan akhirat. Bagi sebarang pertanyaan, sila hubungi kami di talian 63442259 atau 64407167.

Jazaakumullahu Khairan Kathiran. Wassalam.

Salam muhibbah,


Damanhuri Abas
Presiden
Persatuan Persaudaraan Pelajar Islam (FMSA)